Wednesday, 24 October 2012

Selamat berpuasa sunat hari Arafah

Hari ini ialah hari khamis 25 Oktober bersamaan 9 Zulhijjah 1433H, Jom kita pakat-pakat ajak anak isteri dan sahabat-sahabat seperjuangan agar menunaikan puasa sunat hari Arafat. Ganjaran untuk puasa sunat Arafah ini sangat besar, iaitu diampunkan dosa kita setahun sebelum dan selepas, InsyaAllah. Mari kita berpuasa esok.

Puasa sunat Hari Arafat ini hanya disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan Haji. Mereka yang sedang mengerjakan Haji tidak disunatkan berpuasa pada tarikh tersebut. Terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan;
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ , فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda;
“(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).
Sabda Rasullullah S.A.W lagi:
“Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya iaitu :-
1. Orang-orang yang mati syahid
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam Bulan Ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.
NIAT: “Sahaja aku puasa sunat hari A’rafah esok hari kerana Allah Ta’ala.”

KELEBIHAN BERZAKAT-PT 2

Dalam Islam, antara dua ibadat yang sangat dititik-beratkan ialah sembahyang dan zakat. Sembahyang ialah hubungan peribadi dengan Allah (hablun minallah) manakala zakat ialah hubungan dengan sesama manusia (hablun minannas).

Zakat ialah sedekah yang wajib dan kadarnya cuma 2.5 peratus sahaja. Namun zakat hanya dapat dikeluarkan oleh orang yang takut kepada Allah. Al-Lail [17]

Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab Neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa; [18] Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya,

Zakat dapat membersihkan harta. Namun hanya harta yang diperolehi secara halal sahaja dapat dibersihkan. Ia hendaklah diberi kepada golongan yang disebut 8 asnaf seperti fakir,miskin, muallaf, dan lain-lain. Dalam mazhab Syafie, zakat mesti diberi kepada setiap satu dari 3 golongan iaitu fakir, miskin, muallaf. Dalam mazhab Hanafi pula tidak semestinya dan boleh diberi kepada salah satu dari 3 golongan. Dalam mazhab Syafie zakat hanya boleh diberi kepada mereka yang tidak meninggalkan sembahyang, manakala mazhab Hanafi pula tidak kisah samada penerima zakat sembahyang atau tidak.

Dari Umar al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak binasa sesuatu harta benda, sama ada di darat atau di laut, melainkan disebabkan harta itu tidak dikeluarkan zakatnya.” (Riwayat Tabrani)